SETIAP kali tiba 1 Januari, soalan apakah sikap
kita sebagai umat Islam dalam menyambutnya sering ditanya dan selalunya, ia
akan dijawab dengan beberapa jawapan atau maklum balas segera yang biasa
didengar selama ini.
Antaranya ialah haram menyambut kedatangan tahun
baru Masihi yang bukan tahun Islam.
Tulisan ini sama sekali tidak bertujuan membincang
atau mempertikaikan maklum balas berkenaan tetapi sekadar mengajak pembaca
bermuhasabah mengenai hal yang berlegar di sekitar kita seharian.
Bukanlah menjadi suatu kesalahan sekiranya kita
memperingati kedatangan 1 Januari daripada sudut pergerakan dan peredaran
masa.
Tuntutan supaya mengambil berat mengenai masa jelas
disebut dalam al- Quran sehingga salah satu surah dinamakan al-Asr yang bererti
masa.
Firman Allah yang bermaksud: "Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang yang beriman dan beramal
soleh serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan
dengan sabar." (Surah al Ashr, ayat 1 hingga 3).
Begitulah firman Allah yang menuntut manusia
sentiasa berhati-hati dalam meniti masa hidup mereka.
Semuanya memerlukan nilai pengisian yang tinggi
(amal soleh) supaya tidak mengalami kerugian.
Tuntutan bermuhasabah amat jelas dalam surah yang
ringkas dan padat ini. Sebenarnya, wujud jalinan hubungan istimewa antara
perkiraan tahun Masihi dan Hijri (Hijrah) kepada umat Islam.
Tahun Masihi dikira menurut `peredaran' matahari
(tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun Hijri pula berdasarkan peredaran
bulan (tarikh al-Qamari).
Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh
berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-syamsi untuk menentukan
musim kerja atau aktiviti manusia.
Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran
musim panas, sejuk, menyemai atau menuai sementara tarikh al-Qamari pula
menentukan masa ibadat.
Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi
dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali
menunaikan ibadat tertentu. Contohnya musim haji dan puasa.
Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau
menunaikan haji dalam musim sejuk tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam
musim panas.
Hal ini memberikan cabaran berbeza kepada mereka
ketika menunaikan ibadat berkenaan. Di sinilah terserlah cabaran jihad ketika
menunaikan ibadat.
Kepentingan menghitung tarikh as-Syamsi terserlah
dalam al-Quran melalui cerita Nabi Yusuf ketika membuat tafsiran mimpi raja
Mesir.
Al-Quran menerusi ayat 46 hingga 49 Surah Yusuf
menceritakan kisah berkenaan sebagai: "(Setelah dia berjumpa dengan Yusuf,
berkatalah ia): `Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)!
Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat) tujuh ekor lembu yang gemuk
dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang
hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali
kepada orang yang mengutusku, moga mereka dapat mengetahui tafsirannya'. Yusuf
menjawab: `Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun
berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah ia pada tangkai-
tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan.
Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang
akan kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu
tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat
memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)."
Kepentingan memerhati perubahan musim seperti yang
diceritakan dalam ayat di atas berdasarkan tarikh as-Syamsi iaitu mengenal
pasti perubahan cuaca untuk memudahkan aktiviti pertanian selepas mendapat
isyarat daripada mimpi raja.
Menyambut tahun baru ini dengan ibadat, itulah yang
dapat dikatakan sebagai jawapan kepada soalan awal tadi. Ibadat yang
dimaksudkan ialah muhasabah.
Muhasabah harus bermula daripada diri sendiri,
menilai dan memerhatikan segala aktiviti hidup yang sudah dilakukan sama ada
berjaya atau sebaliknya dapat meningkatkan kualiti diri.
Kualiti yang dimaksudkan ialah kualiti yang setara
dengan apa yang Allah tetapkan standardnya iaitu amal soleh.
Amal soleh yang dimaksudkan bukan sekadar amalan
berbentuk ritual seperti sembahyang, puasa atau haji, sebaliknya semua aktiviti
dan amalan harian termasuk cara berhubung dengan ahli keluarga, masyarakat,
cara menilai atau mena'kul sesuatu perkara.
Setiap kali tiba tahun baru kita menanam azam yang
bukan sedikit. Ada yang tidak sabar menunggu kiraan detik akhir menjelang tahun
baru, mengadakan pesta, konsert dan sebagainya khusus untuk menyambut tahun
baru.
Tidak ramai sedar atau terfikir untuk menganjurkan
majlis muhasabah bagi menilai semula aktiviti atau produktiviti selama setahun
berlalu.
Mungkin majlis seperti ini boleh dianjurkan pada
peringkat organisasi, masyarakat setempat sehinggalah ke peringkat
keluarga.
Sekiranya dilakukan majlis muhasabah di peringkat
organisasi perniagaan atau keluarga, salah satu agenda yang patut dibincangkan
ialah pengiraan zakat.
Seelok-eloknya akhiri pertemuan muhasabah ini
dengan doa selamat atau tahlil atau boleh juga dilakukan solat hajat memohon
diberi rezeki yang lebih dalam musim yang akan datang.
Suasana ibadat dan ukhuwah akan terserlah daripada
amalan seperti ini.
Tulisan oleh Zamri Bin Zainal Abidin
Tarikh : 30.12.2004
Sumber : IKIM
0 comments:
Post a Comment