Renung Wasiat Hassan Al-Banna Untuk Mula Tahun Baru
SEMOGA kehadiran tahun baru 2012 ini menjanjikan
sesuatu yang lebih baik untuk kita. Pengalaman sepanjang 2011 kita simpan
sebagai kenangan yang tidak mungkin dapat kita ulangi.
Orang cakap ‘sejarah mungkin berulang’ tapi adakah ia
sama seperti pertama kali terjadi? Tak, kan? Kenangan manis, kita kenang sampai
bila-bila.
Kenangan pahit, kegagalan yang berlaku sepanjang 2011
kita anggap saja sebagai langkah yang perlu dilalui untuk kehidupan yang lebih
berjaya.
Sebagai muhasabah dalam memulakan langkah 2012, penulis ingin mengajak kita
merenung wasiat dan nasihat Hassan al-Banna yang sangat relevan dan hidup
kata-katanya walaupun beliau sudah tiada lagi antaranya:
- Segeralah tunaikan solat pada awal waktu
iaitu kala mendengar azan. Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan
kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan, pertolongan dan taufiq. Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran di mulakan dengan menyebut solat
pada awalnya. Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat di medan perang walaupun
pada saat genting dan cemas.
- Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya.
Selalu berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit. Kurangkan mengisi masa yang
tidak bertujuan. Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu. Sumber hidayah kepada
anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati mesej arahannya. Selalu
berzikir, berzikir dan terus berzikir! Di sini ada ketenteraman, kedamaian dan
keselamatan. Jadilah hamba yang sejahtera.
- Dorong diri untuk menguasai bahasa al-Quran.
Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda sudah lama bermula
iaitu sejak anda solat setiap hari. Sebut dulu walaupun tidak faham. Antara malapetaka pertama menimpa umat kita
ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Ayuh! Apa tunggu lagi bukalah ruang
walaupun seminit!
- Usahlah bertarung idea tanpa adabnya.
Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di
sana ada unsur lain membisikkan, syaitan namanya!
- Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam
ketawa! Rasulullah s.a.w adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena
pada tempatnya. Bagaimanapun berpada-pada saja wahai kawan, Plato juga berharap supaya
pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa dan lawak bodoh
hanya disaksikan golongan abdi dan orang upahan asing.Begitu juga pendapat Aristotle, supaya belia ditegah daripada menyaksikan
hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, agar tidak menular
keburukan dalam diri!
- Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan.
Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata
seorang penyair: Berikan kerehatan pada jiwamu. Yang sibuk dengan berfikir,
ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam
batas seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.
- Kawal nada suaramu setakat yang diperlukan
oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakiti
hati orang lain pula. Luqman al-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai
menjaga nada suara pada tempatnya. Itulah katanya suara keldai! Surah al-Isra’ memberi tip kepada kita. Jangan
keraskan suaramu dalam solat. Tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan
tengah di antara keduanya.
- Usahlah mengumpat dan usahlah
merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh!
Hindarilah mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah lain! Perkatakanlah
kebaikan demi kebajikan bersama. Sukakah anda makan daging? Pasti anda suka! Tapi sukakah anda makan daging
kawan anda yang sudah mati? Sekali-kali tidak! Begitulah dosa orang yang
mengumpat. Bertaubatlah jika anda mengumpat tapi mesti minta ampun terhadap orang
umpatanmu. Boleh mengumpat apabila ada tujuan syarie iaitu untuk menuntut
keadilan apabila dizalimi, untuk menghapuskan kemungkaran atau kerana memberi
amaran kepada Muslim lain mengenai kejahatan dan mengisytiharkan kefasikan dan
kejahatan.
- Luaskanlah interaksimu dengan umat manusia.
Sekali pun mereka tidak diminta berbuat demikian. Salam kasih sayang adalah
untuk semua. Salam kemesraan adalah untuk sejagat. Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan. Lihatlah pensyariatan ibadah haji.
Pelbagai bangsa, lapisan dan darjat datang berkunjung. Sama-sama menjunjung
obor suci. Tidak mengenali tapi tak sepi.
- Maksimumkan faedah
waktu anda dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa
penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda. Bersegeralah, kerana dalam sabda Nabi
yang bermaksud: “Bertindak segeralah melakukan amal...” (Diulang 7 kali..).
Sayangilah masa saudaramu, hormatilah waktu mereka, usahlah berbicara
meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya.
Selamat menyambut tahun baru 2012!
Sumber Harian Metro