
Kebersihan
adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam sepanjang masa. Ini khususnya apabila
kita beribadah kepada Allah. Juga apabila kita bertemu manusia lain.
Islam memerintahkan kita menjaga hubungan baik dengan Allah, demikian juga kita
menjaga hubungan baik sesama manusia. Kebersihan, wangian dan penampilan yang
baik sesuatu yang menunjukkan penghormatan dan penghargaan kita kepada pihak
yang ingin kita bertemu dengannya. Ini adalah tabiat manusia. Justeru itu,
semasa soat kita diwajibkan menjaga kebersihan dan menutup aurat, juga
disunatkan berwangian. Demikian ketika berjumpa dengan manusia. Pakaian yang
sesuai dan memakai wangian adalah sunnah dalam bermasyarakat. Mereka yang
mempunyai bau busuk dilarang datang ke tempat perhimpunan awam khususnya solat
berjemaah. Sebab itu tidak dibenarkan sesiapa yang memakan bawang putih ataupun
makanan yang lain yang mengeluarkan bau busuk dari pemakannya menghadiri solat
berjemaah. Ini kerana Islam ingin mengelakkan kita menyakitkan orang lain dan
menimbulkan kebencian sesame manusia.
Galakan Gosok Gigi
Islam menggalakkan bersugi (gosok gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk
mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah
pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi s.a.w:
“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan
mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar
dielakkan. Allah tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau tersebut
terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari keranaNYA. Justeru
itu, Nabi s.a.w bersabda: “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum
di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan
orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain.
Apatahlagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun
membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang
bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim
yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan
Islam.
Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa
tidak begitu kukuh dari segi sifat semulajadi ataupun neutrality agama
ini. Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra
menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan
menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah
lemah dari segi riwayat. Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w.
seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi.
Maka tidak boleh menjadi hujah. Apatahlagi bertentang dengan sifat Islam itu
sendiri. Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum
merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.
Bukan Hujah
Antara hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini ialah
dikatakan Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu
pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar,
at-Tabarani dan lain-lain. Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan
hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang
daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat
Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu
Daud dll).
Apapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis
yang sahih adalah asas dalam amalan muslim. Ertinya, bersugi sentiasa
digalakkan tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Nabi s.a.w dalam hadis
sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut: “Bersugi itu
membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn
Hibban dll).
Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan
dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu jangan
jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang
berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!
Sumber : Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin